Bagaimana Soalan Yang Tepat Berhasil Memajukan Manusia
A. Hud | 30 Ogos 2021
Bagaimana Soalan Yang Tepat Berhasil Memajukan Manusia
A. Hud | 30 Ogos 2021
“Mengapa kita perlu tunduk kepada penindasan penjajah?”
Soalan seperti inilah yang lazimnya dilaungkan untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyat yang dijajah agar bangkit memperjuangkan kemerdekaan.
Semangat kebangkitan itu berjaya dicetuskan oleh sebuah persoalan. Dan persoalan yang ditimbulkan dalam laungan tersebut sangat tepat.
Persoalan yang ditimbulkan ialah, apakah wajar untuk sekadar merelakan penindasan yang dilakukan oleh para penjajah? Mengapa tidak mahu bangkit melawan?
Mempersoalkan perkara yang tepat akan membawa manusia untuk melakukan perkara perkara luar biasa. Perjuangan membebaskan tanah air misalnya.
Andaikan bahawa soalan tadi digantikan dengan soalan seperti ini,
“Adakah penjajah kali ini lebih bertamadun berbanding penjajah sebelum ini?”
Adakah kita menjangkakan soalan ini boleh membangkitkan semangat untuk menuntut kemerdekaan yang sama kuat seperti yang dicetuskan oleh soalan pertama? Anda dan saya tahu, jawapannya tidak. Sebabnya terang lagi bersuluh, soalannya tidak tepat! Soalan itu memberi tumpuan kepada isu yang tidak tepat. Tidak setepat isu yang difokuskan oleh soalan sebelumnya.
Sebagai manusia, saya dan anda barangkali memandang enteng perihal kepentingan mempunyai soalan yang tepat. Kita sering mendengar orang berkata bahawa tiada soalan yang salah.
Izinkan untuk saya tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.
Saya percaya, soalan yang salah (atau tidak tepat) itu sememangnya wujud. Ancaman yang datang bersama soalan yang salah pula adakalanya mampu menenggelamkan manusia dalam lautan masalah yang tidak dijangka.
Soalan yang tidak tepat berupaya memecahbelahkan perpaduan, ia juga mampu menyebabkan manusia saling menindas antara satu sama lain, selain boleh menyebabkan manusia tidak mampu mencari jalan keluar daripada masalah dan kekusutan kehidupan. Begitu dahsyat sekali penangan apabila soalan yang tidak tepat dikemukakan.
Kehidupan ini hakikatnya (dalam kebanyakan keadaan) menuntut kita untuk mampu menghadirkan persoalan yang tepat. Soalan akan menyebabkan kita berfikir, seterusnya merancang dan akhir sekali, bertindak. Tersilap memilih soalan, maka alamatnya tindakan yang silap bakal terhasil. Mari kita lihat kepada sebuah contoh mudah.
Andaikan anda diminta untuk memilih antara dua individu, yang manakah di antara mereka merupakan penyanyi terbaik. Seolah olah anda merupakan seorang juri. Tetapi anda tidak boleh mendengar mereka menyanyi mahupun melihat rupa mereka, bahkan anda hanya ditayangkan dua nama penuh penyanyi tersebut yang tertulis di atas sehelai kertas.
Fikirkan sejenak. Persoalan apakah yang akan membantu anda untuk membuat keputusan yang betul?
“Siapakah yang lebih merdu nyanyiannya?”. Ini persoalan yang tepat.
“Siapakah yang mempunyai paras rupa yang lebih menawan?”. Ini pula persoalan yang salah.
Apabila menilai kehebatan penyanyi, pastilah kita menilai aspek kemerduan suara, bukannya rupa paras.
Lihat. Bukankah soalan yang salah itu wujud?
Hasil mempunyai persoalan yang salah pada pertanyaan kedua, anda akan membuat keputusan yang silap. Dalam contoh mudah ini, anda mungkin sekadar akan tersilap memilih penyanyi terbaik yang sepatutnya. Anda mungkin tidak berlaku adil hanya kepada seorang insan sahaja.
Bayangkan sekiranya soalan salah yang saya dan anda timbulkan itu menyebabkan kita membuat keputusan dan tindakan yang menzalimi orang lain dalam skala yang lebih besar? Bukankah kesannya sangat memudaratkan umat manusia?
Sekiranya anda belum cukup yakin tentang kepentingan mempunyai soalan yang tepat, lihatlah pada bukti sejarah. Bukankah manusia mampu menempa kejayaan dan kemajuan apabila mereka mempunyai soalan soalan yang tepat dan bernas?
Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh bagaimana soalan yang tepat boleh membantu kita. Ketika Perang Badar, baginda bertanya mengenai bilangan haiwan ternakan yang disembelih oleh tentera Quraisy untuk mengetahui anggaran bilangan tentera musuh.
Katip Çelebi pula, seorang ulama pada abad ke-17 telah mengemukakan persoalan yang sangat futuristik, iaitu mempersoalkan bagaimana manusia dapat menunaikan solat di angkasa dengan sempurna. Bayangkan pada abad ke-17 lagi soalan sebegini telah pun dicetuskan beliau, walhal ketika itu manusia masih belum meneroka angkasa. Soalan seperti inilah yang menyebabkan hukum hakam dalam bidang fiqah sangat banyak, fleksibel dan pelbagai.
Para ilmuwan yang terkenal dengan teori mereka juga berupaya mempersembahkan ilmu baharu kepada dunia melalui persoalan yang tepat. Isaac Newton menemui idea mengenai graviti kerana mempersoalkan mengapa bulan di langit tidak jatuh sepertimana jatuhnya epal dari pokok ke atas kepalanya.
Para pereka cipta pula, selalunya mempersoalkan bagaimana untuk menyelesaikan sebuah masalah sekaligus memudahkan urusan harian manusia. Anak kepada Edwin Land telah bertanya kepada ayahnya, mengapa manusia tidak boleh melihat gambar sejurus selepas gambar tersebut dirakam? Persoalan inilah kemudian mencetuskan idea kepada ayahnya untuk mencipta kamera Polaroid pada tahun 1947.
Tuntasnya, amat jelas bahawa soalan yang tepat merupakan sesuatu yang amat penting untuk manusia memajukan diri mereka. Tanamlah keazaman di dalam diri untuk belajar menghasilkan soalan yang tepat. Percayalah, bahawa soalan yang tepat akan mampu mengubah dunia (atau setidaknya ia mampu mengubah diri kita sendiri) ke arah yang lebih baik.
Ambillah iktibar daripada tulisan Alan Webber, penulis buku The Rules of Thumb ini:
“Jika anda bertanya soalan yang tepat, tidak kiralah apa pun jawapannya, anda akan belajar sesuatu (pengajaran) yang bernilai.” (Webber, 2009)
Selamat mencari dan menemukan soalan yang tepat!
A. Hud,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.