Benarkah Minda Rakyat Malaysia Masih Dijajah?
N. Sharae | 16 September 2021
Benarkah Minda Rakyat Malaysia Masih Dijajah?
N. Sharae | 16 September 2021
Sebagai rakyat Malaysia, kita sering mendengar penyataan dari orang Malaysia sendiri yang mengatakan bahawa minda rakyat Malaysia terutamanya golongan muda masih dijajah walaupun negara Malaysia sudah mencapai kemerdekaan berpuluh tahun yang lalu. Namun, benarkah minda rakyat Malaysia terutamanya golongan muda masih dijajah?
Saya tidaklah arif untuk menjawab soalan “benarkah minda rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, masih dijajah?” tetapi saya sebagai wakil dari golongan muda ingin membahaskan tentang perihal ini. Apakah sebenarnya makna ‘jajahan’ ini? jajahan adalah sebuah penaklukan terhadap sesuatu kawasan, lebih spesifik lagi sesuatu daerah. Sehubungan dengan itu, apakah pula yang dimaksudkan dengan minda rakyat Malaysia masih dijajah? minda yang dijajah merujuk kepada adat dan budaya rakyat Malaysia yang kini kian mengikuti anasir-anasir barat sehingga hilangnya adat dan budaya asal rakyat Malaysia terutamanya adat istiadat orang Melayu.
Pada pendapat saya, penyataan ‘minda rakyat Malaysia masih dijajah’ itu terlampau berat untuk diterima. Seperti yang kita dapat lihat, walaupun golongan muda hari ini banyak mengikuti sohor kini daripada barat, masih ramai yang mengekalkan adat istiadat orang Melayu dalam perayaan atau majlis-majlis rasmi. Sebagai contoh, masih ramai orang Melayu yang mengenakan baju Melayu dan memperagakan baju kurung di Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Mereka juga masih mengekalkan adat penukaran hantaran di hari pertunangan dan pernikahan. Namun begitu, terdapat segelintir golongan muda yang mengadakan majlis perkahwinan mengikuti budaya orang barat seperti mengenakan baju kot dan gaun serta hanya menjemput keluarga dan rakan terdekat ke majlis tertutup tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia yang terbuka mindanya, hal ini tidak patut dipertikaikan kerana mungkin itu adalah sesuatu yang pihak tersebut ingin laksanakan tanpa mempunyai niat untuk mengagungkan budaya barat. Perkara seperti ini adalah sesuatu yang dikatakan sebagai keinginan dan cita rasa setiap individu itu sendiri. Tetapi hal ini perlu dititikberatkan jika terdapat individu yang merasa malu untuk mengikuti adat istiadat asal orang Melayu. Tambahan pula, terdapat segelintir golongan muda yang memandang rendah kepada keluarga yang masih mengutamakan adat istiadat orang Melayu kerana bagi mereka itu adalah perkara yang lembab. Jika perkara sebegini dibiarkan berleluasa, adat istiadat orang Melayu lama kelamaan mungkin akan hilang sedikit demi sedikit.
Kesimpulannya, minda rakyat Malaysia terutamanya golongan muda tidaklah dikatakan masih dijajah tetapi mungkin terdapat segelintir rakyat Malaysia yang mindanya telah dijajah oleh anasir barat. Hal ini kerana, golongan muda yang mengikuti budaya barat dalam beberapa perkara hanyalah keinginan dan cita rasa mereka. Ini bermaksud mereka mengagungkan budaya barat apatah lagi melupakan adat isitiadat orang Melayu. Malaysia mempunyai pelbagai kaum, jadi tidak salah untuk kita mencuba atau mengenali adat dan budaya masyarakat lain.
N. Sharae,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.