Erti Sebuah Kemerdekaan
Abdul Hannan Bin Mohamad Ibrahim | 5 September 2021
Erti Sebuah Kemerdekaan
Abdul Hannan Bin Mohamad Ibrahim | 5 September 2021
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Ini adalah sebuah penulisan yang bersifat neutral dan ianya juga tidak menyentuh mana-mana sensitiviti kaum, agama dan bangsa. Penulisan ini adalah bertujuan untuk berkongsi pendapat dan pandangan saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang biasa. Seiring dengan pemilihan tajuk saya dalam penulisan artikel ini, iaitu erti sebuah kemerdekaan maka penulisan ini akan berbicara tentang sebuah persoalan yang berlegar dalam minda saya selama ini iaitu adakah kita sebagai rakyat Malaysia yang telah mendapat kemerdekaan selama 64 tahun ini telah betul-betul ‘bebas’ dari ideologi dan juga pemahaman yang masih berbicara soal warna kulit, bangsa dan perbezaan bahasa pertuturan kita ini. Rakyat Malaysia pada setiap tarikh keramat iaitu pada 31 Ogos akan menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia, dan negara Malaysia telahpun mendapatkan kemerdekaan selama 64 tahun. Namun, apa yang saya lihat ialah terhadap segelintir masyarakat Malaysia yang sering menyentuh isu perkauman dan bangsa, masih wujud sehingga ke hari ini sebagai contoh, “kamu tu orang india ingat skit asal usul” ataupun “ehh kamu tu dah lah komunis dulu” ini adalah contoh-contoh percakapan yang dikatakan oleh sebahagian daripada kita dimedia sosial atau secara semuka. Maka saya melihat perkara ini sebagai satu perkara yang berat dan serius kerana percakapan yang sebegini akan merosakkan perpaduan yang sedia di negara kita ini. Selain itu, negara Malaysia mempunyai keunikan tersendiri yang dikagumi oleh seluruh pemimipin dan manusia diperingkat antarabangsa. Ini kerana, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa, dan agama telah menjadikan negara Malaysia ini unik dan disukai oleh ramai pelancong dari seluruh negara.
Maka, disini saya sekali lagi ingin menimbulkan persoalan sama, adakah kita sebagai rakyat Malaysia yang telahpun berjaya mendapatkan kemerdekaan telah merdeka atau ‘bebas’ sepenuhnya dari segi pemikiran atau ideologi yang masih dijajah oleh pemahaman yang cetek dan kurang berilmu ini. Maka pada pandangan peribadi saya akan mengatakan ‘Tidak’ kerana kita masih terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang masih belum lagi bebas daripada pemikiran yang kolot ini. Jikalau kita melihat kepada perkara-perkara yang berlaku disekeliling kita ini, maka saya boleh katakan kita masih lagi belum merdeka dari segi pemikiran yang sering menyentuh isu perkauman, bangsa dan juga agama. Rakyat Malaysia perlu mengetahui dan menghayati sejarah negara Malaysia dengan lebih mendalam dengan sumber yang benar dan shohih. Hal ini kerana, perjuangan tokoh-tokoh negara dalam memperjuangkan dalam mendapatkan kemerdekaan bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu sahaja, malah diperjuangkan juga oleh bangsa India dan juga Cina. sebagai contoh, antara tokoh dari bangsa cina kita ada Tun H.S. Lee yang telah memperjuangkan hak dalam mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu ini. Selain itu, kita juga mempunyai Tun V.T. Sambathan yang juga antara tokoh yang terkenal dalam membantu mendapatkan kemerdekaan negara kita ini. Maka daripada bukti-bukti ini, kita dapat melihat bahawa kemerdekaan negara kita ini telah diperjuangkan oleh semua bangsa melayu, india dan juga cina. Saya melihat, jikalau masih terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang sering menyentuh isu perkauman dan bangsa ini, adakah mereka ini betul-betul menghayati 5 prinsip rukun negara kita ini dengan betul.
Akhir kata, saya ingin menyatakan hasrat saya kepada kerajaan agar pihak kerajaan perlu memainkan peranan dan mengambil tindakan yang sepatutnya keatas individu-individu yang masih menyentuh isu perkauman, bangsa dan juga agama di Malaysia mengikut undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara kita. Maka dengan cara ini kita dapat menyedarkan kepada rakyat Malaysia apakah kesannya jikalau berbicara isu perkauman ini di Malaysia. Selain itu, saya juga mengharapkan ibubapa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak mereka dirumah dengan cara yang betul dan bukannya dengan menanamkan sifat rasisime atau sifat-sifat yang buruk, kerana dimasa hadapan kita memerlukan satu generasi yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita sebenarnya perlu betul-betul memahami dan merenungi apakah yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan negara kita ini, kerana kita mahukan rakyat Malaysia yang bebas daripada fahaman atau ideologi yang dijajah dengan pemahaman yang tidak betul dan tidak rasional.
Maka melalui penulisan ini saya ingin nyatakan bahawa mempunyai fahaman dan pemikiran yang terbuka sangat penting dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Kemerdekaan sebenar adalah apabila kita benar-benar telah keluar dari belenggu pemikiran yang masih salah menyalahi antara satu sama lain dan menyebarkan sifat benci diantara kita. Oleh itu, saya sangat mengharapkan kita sebagai keluarga Malaysia mengamalkan segala nilai-nilai murni yang baik didalam kehidupan seharian kita seperti bersopan santun, menghormati antara satu sama lain dan juga bertolak ansur. Insha Allah dengan mengamalkan segala nilai-nilai murni ini kita dapat melahirkan satu generasi yang berkualiti dan berkredibiliti dimasa hadapan. Sekian, terima kasih.
Abdul Hannan Bin Mohamad Ibrahim,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.