Ibrah Fitrah Perselisihan Faham Dalam Sejarah Islam
H. Fakrul | 23 Julai 2021
Ibrah Fitrah Perselisihan Faham Dalam Sejarah Islam
H. Fakrul | 23 Julai 2021
Kebelakangan ini negara kita dihangatkan dengan isu perselisihan faham antara beberapa tokoh dakwah dan aktivis terkenal dalam negara. Tidak perlu disebutkan nama masing-masing kerana majoriti rakyat Malaysia sudah tahu akan perihal kisah ini. Apa yang mahu ditekankan dalam penulisan ini adalah bagaimana isu ini sebenarnya lumrah dalam sejarah yang sentiasa berulang pada setiap dekad atau abad. Ringkasan konflik kecil ini bermula apabila seorang aktivis yang sentiasa berjuang untuk merapatkan saf menegur seorang ustaz dalam cara beliau mengendalikan misi beliau sendiri untuk masuk ke Semenanjung Gaza. Konflik ini terus berlanjutan apabila timbul suara lain yang mula berbicara.
Realiti dalam lipatan sejarah semenjak wafatnya baginda Nabi Muhammad pada usia 63 tahun adalah perpecahan dan perbalahan sentiasa berlaku dalam kalangan umat Islam. Perpecahan yang ingin dipetik ini bukannya perpecahan umat yang mengikut fahaman sesat seperti pengikut Musailamah al-Kazzab atau golongan mereka yang menolak membayar zakat. Tetapi tentang umat Islam yang berselisih namun dikatakan sebenarnya pihak yang berselisih masing-masing terbukti kebenarannya. Contoh yang paling mudah kita dapat lihat ketika peperangan Jamal dan Siffin. Saidina Ali yang baru dipilih menjadi khalifah keempat setelah kematian Baginda, terpaksa menghadapi tekanan daripada pihak Saidatina Aisyah dan Muawiyah Abu Sufyan.
Kedua-dua perang ini telah menyebabkan kerugian yang besar buat umat Islam. Ramai sahabat baginda yang terkorban serta berpuluh ribu lagi muslim yang terbunuh. Kesan daripada perang ini terjadilah umat Islam yang berpecah kepada tiga pihak ketika itu. Pengikut Muawiyah menyokong beliau dalam mengasaskan dinasti Umayyad. Saidina Ali memerintah Kufah bersama pengikunya yang setia. Golongan ini seterusnya menjadi fanatik kepada beliau dan terus menjadi cabang Islam lain yang kita kenali sebagai Syiah pada hari ini. Golongan ketiga adalah puak Khawarij yang sudah pupus.
Di Nusantara sendiri pernah terjadi perpecahan yang dahsyat dalam kalangan muslim berpunca daripada penentangan Nuruddin ar-Raniri yang menentang ajaran Hamzah Fansuri di Acheh pada abad ke-17 Masihi. Ar-Raniri menuduh Hamzah Fansuri membawa ajaran sesat kepada penduduk Acheh ketika itu. Perpecahan ini terjadi sehinggakan ramai pengikut daripada kedua-dua pihak yang terkorban dalam konflik ini. Seperti juga dalam konflik di antara Saidina Ali, Saidatina Aisyah dan Muawiyah Abu Sufyan, kedua-dua tokoh ini dihormati dan diakui kehebatan karya mereka sehingga kini. Mujur al-Sinkili yang turut terkenal dan dihormati di Acheh ketika itu berjaya menyelesaikan konflik ini dan menyatukan semula penduduk Acheh. Kedua-dua kisah ini harus dijadikan rujukan dan pengajaran buat Islam kini.
Sebenarya salah satu punca sesuatu perselisihan faham antara tokoh itu menjadi lebih teruk kerana wujudnya pengikut yang fanatik dan hanya menganggap fahaman dan pendapat ketua mereka sahaja yang benar. Mereka ini tidak akan dapat menerima kesilapan tokoh yang mereka sayangi kerana terlalu taksub. Inilah yang ditakutkan oleh penulis sebenarnya. Konflik dan fitnah yang berlaku pada zaman milenium ini akan lebih mudah tersebar melalui media sosial yang belum wujud sebelum ini. Berita palsu akan lebih mudah disebar dan dipercayai oleh umat Islam.
Teguran ini sebenarnya untuk kita semua. Usahlah kita menjadi batu api dalam perbalahan ini dan mengulas isu yang sedang hangat ini seolah-olah kita juga yang terlibat. Komen yang mengutuk dan mengecam sesiapa sahaja yang terlibat tidak seharusnya dikeluarkan oleh kita sebagai seorang Muslim. Apakah faedah yang kita dapat sekiranya melakukan perkara tersebut? Jawapannya tiada. Malah akan mengeruhkan lagi keadaan. Tambahan pula, pihak yang berbalah ini merupakan orang yang hebat dalam bidang masing-masing. Apalah jasa dan pengalaman kit aini dapat mengulas seperti pakar. Biarlah perkara ini berlalu kerana lambat laun akan selesai juga. Ingatlah semua bahawa umat Islam itu bersaudara. Bersatulah kita dalam menghadapi ancaman akhir zaman yang lebih besar.
H. Fakrul,
Alumni Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.