KPT: Kementerian Pasif Tanpa Hala Tuju
Hakim Razak | 21 Julai 2021
KPT: Kementerian Pasif Tanpa Hala Tuju
Hakim Razak | 21 Julai 2021
Tiada mahasiswa dapat menafikan bahawa pembelajaran secara atas talian memberikan tekanan yang berkali ganda berbanding pembelajaran secara bersemuka. Saat di kampus, kita hanyalah pelajar. Tetapi ketika berada di rumah, kitalah pelajar, anak, abang, kakak, adik, dan segala komitmen lain. Beruntung mereka yang mempunyai keluarga yang memahami dan memberikan masa pelajar belajar tanpa gangguan, namun ada juga yang akan dicengkam rasa serba salah terpaksa menghabiskan sehari suntuk di hadapan peranti demi menyiapkan tugasan sedangkan keluarga dan tugasan di rumah juga perlu dibantu.
Walaupun sudah hampir setahun setengah sejak pandemik bermula dan institusi pengajian tinggi melaksanakan pembelajaran secara atas talian, amat mendukacitakan apabila masih terdapat IPT dan pensyarah yang seakan tidak memahami bahawa beban pelajar semakin bertambah dan sistem pengajaran dan penilaian sepatutnya diubah suai dengan beberapa kelonggaran. Universiti menjalankan program kesihatan mental yang langsung tidak membantu, ditambah dengan sikap para pensyarah yang suka memburukkan keadaan dan memandang enteng aduan para pelajar.
Sikap empati sebahagian pendidik seakan telah terhapus, dan mereka masih terperangkap dengan arus pemikiran lama yang memandang generasi seterusnya sebagai lemah. Beranggapan mereka lebih dahulu makan garam dan mereka telah melalui zaman belajar dan memahami tekanan belajar, namun mereka terlupa garam di waktu mereka tidak sama dengan garam pandemik yang perlu ditelan mahasiswa masa kini. Sikap mengatakan “Saya dulu...” sudah tidak lagi boleh diterima pakai, kerana mereka dulu cabarannya berbeza, dan mahasiswa pada masa kini cabarannya berbeza.
Terbaru, dua pelajar universiti meninggal dunia, dilaporkan kerana tekanan. Tinjauan di akaun Twitter rasmi Menteri Pengajian Tinggi, YB Noraini Ahmad mendapati tiada kenyataan diberikan. YB Noraini seperti terlampau sibuk dengan program kebolehpasaran graduan. KPT telah mengeluarkan kenyataan ringkas untuk menunjukkan ‘keprihatinan’ setelah dihentam warganet dan mengambil inisiatif bekerjasama dengan Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia dalam proses membangun satu modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan dalam pelajar IPT.
Walaupun inisiatif KPT itu adalah suatu usaha murni, namun ia kelihatannya bukanlah satu inisiatif yang berbeza dengan apa yang pihak universiti telah lakukan. Terlampau awal untuk mengatakan inisiatif ini cumalah suatu usaha melepaskan batuk di tangga, sekadar untuk menunjukkan ada usaha daripada pihak kementerian; walaupun hasilnya sudah boleh dijangka oleh semua mahasiswa yang melihat program-program berkaitan kesihatan mental diadakan di universiti masing-masing.
Apa yang membimbangkan adalah hala tuju KPT di bawah pimpinan YB Noraini untuk mahasiswa, iaitu tiada. Semenjak awal pandemik lagi, YB Noraini dan KPT telah gagal menunjukkan bahawa mereka mempunyai matlamat yang jelas untuk mahasiswa yang menuntut di IPT dalam negara ini. Misi KPT untuk “melestarikan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara” cumalah ayat tersusun indah tanpa perancangan yang jelas.
Di bawah kemudi YB Noraini, mahasiswa dapat melihat bagaimana pihak KPT cuma akan mengambil tindakan setelah sesuatu isu tular di media sosial. Apabila mahasiswa bersuara tentang mereka terperangkap di dalam kampus berbulan-bulan semasa PKP 1.0, Ops Pulang digerakkan. Sewaktu mahasiswa bersuara tentang ketidakadilan yuran perlu dibayar penuh sedangkan fasiliti di universiti tidak digunakan, barulah perbincangan diadakan. Apabila sudah ada pelajar meninggal dunia kerana tekanan, barulah isu kesihatan mental ini diberikan perhatian.
Trend YB Noraini dan KPT yang hanya memberikan reaksi tatkala nasi sudah menjadi bubur adalah sesuatu yang perlu dihentikan secepat mungkin. YB Noraini dan KPT perlu turun di lapangan dan melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku. Umum sememangnya mengetahui YB Menteri dan KPT yang jauh daripada realiti tidak mampu untuk bertindak sendiri dan berpandangan jauh ke hadapan. Maka di sinilah Pimpinan Kesatuan-Kesatuan Mahasiswa dan Majlis-Majlis Perwakilan Pelajar sepatutnya perlu lebih lantang bersuara demi mahasiswa. Kita perlu berpandangan jauh ke hadapan demi mahasiswa, bukannya untuk langkah politik dan populariti masing-masing.
Saat rencana ini ditulis pada 14 Julai 2021, seramai lebih kurang 8.3 juta rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin dos pertama dan 3.8 juta telah melengkapkan dua dos vaksin. 25.6% daripada populasi rakyat Malaysia telah mendapatkan dos pertama mereka dan 11.8% telah berjaya disuntik dengan dua dos vaksin melalui 546 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam kenyataan bertarikh 3 Julai mensasarkan kadar purata suntikan sehari pada bulan Julai adalah 300,000 dos sehari. Setakat 13 Julai, sebanyak 424,541 dos telah berjaya disuntik dan itu adalah kadar harian tertinggi buat masa ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham berpendapat sekiranya momentum vaksinasi 450,000 orang sehari berjaya dikekalkan untuk dua minggu seterusnya dan semua rakyat dapat mematuhi SOP yang ditetapkan, kita mungkin akan berjaya menurunkan kes dan mengurangkan tekanan kepada petugas dan fasiliti kesihatan negara. Sekiranya momentum ini berterusan, tidak mustahil Malaysia akan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.
Persoalannya, apakah perancangan KPT untuk mahasiswa seterusnya? Adakah KPT akan membiarkan pisang berbuah dua kali, cuma membuat perancangan apabila satu perkara telah terjadi, iaitu apabila jelas imuniti kelompok dapat dicapai? Ataupun KPT dan YB Noraini akan mengambil tindakan yang lebih proaktif? Proaktif yang dimaksudkan bukanlah dengan mengarahkan Pusat-Pusat Perubatan Universiti dan Hospital-Hospital Universiti untuk menjadi PPV dan pusat rawatan COVID-19. Tidak dinafikan itu adalah usaha murni di peringkat nasional, namun apa yang mahasiswa mahukan adalah lebih jauh daripada itu.
Perkara yang perlu diberi perhatian oleh YB Noraini dan KPT adalah apakah perancangan untuk pembukaan universiti-universiti dalam masa terdekat. Ataupun YB Noraini akan membiarkan semua institusi pengajian tinggi dan ribuan pelajarnya jatuh ke dalam lubang yang sama sekali lagi? Walaupun persoalan sama ada Malaysia akan mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat ataupun tidak cuma akan terjawab dalam beberapa bulan lagi, KPT tidak seharusnya berdiam diri duduk memerhati. Kerana sikap sudah terhantuk baru terngadah inilah yang menyebabkan dua orang mahasiswa terkorban sebelum KPT mula merancang untuk membangunkan satu modul Kesihatan Mental Pelajar IPT sedangkan proses pemindahan ilmu secara maya ini sudah hampir dua tahun dijalankan.
Terlalu banyak perkara yang perlu pihak KPT pertimbangkan untuk beberapa bulan mendatang. Adakah semua pelajar akan diwajibkan pulang ke kampus selepas imuniti kelompok dicapai? Bagaimana dengan pelajar dan pensyarah yang belum mendapat suntikan vaksin? Bagaimana SOP pergerakan? Bagaimana dengan pelajar antarabangsa? Dilengkapi dengan dua dos vaksin tidak menjanjikan seseorang itu akan bebas daripada jangkitan dan menjangkiti orang lain, maka adakah bilangan pelajar di dalam kelas perlu dikurangkan? Bagaimana SOP di dalam kelas? Semuanya memerlukan kajian yang teliti dan disokong oleh fakta sains, bukannya mitos semata. Ataupun universiti tetap tidak akan dibuka kerana risiko jangkitan masih ada?
YB Noraini dan KPT perlu mula merancang bagaimana sesi akademik 2021/2022 akan dijalankan. Sekiranya semuanya masih perlu dijalankan secara atas talian, maka pertimbangan perlu diberikan untuk memperbaiki modul dan kurikulum sebaik mungkin supaya bersesuaian dengan cabaran masa kini. Sekiranya ia akan dijalankan secara hibrid, maka SOP untuk proses bersemuka perlu dijelaskan. Sekiranya ia bakal dijalankan secara berhadapan sepenuhnya, segala SOP berkaitan perlu dikaji sebaik mungkin dan dirujuk kepada pihak KKM dan MKN untuk kelulusan.
Terlalu banyak kemungkinan yang boleh berlaku, dan pihak YB Menteri dan KPT perlu menimbang tara segala pilihan yang ada untuk kebaikan mahasiswa seluruhnya.
Hakim Razak,
Mahasiswa Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws.