Mengapa Rakyat yang Merdeka Perlu Memaknakan Kemerdekaan
A. Hud | 14 September 2021
Mengapa Rakyat yang Merdeka Perlu Memaknakan Kemerdekaan
A. Hud | 14 September 2021
“Apakah makna merdeka bagi anda?”
Kebiasaannya, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara kita, akan ada banyak dianjurkan wacana yang bertujuan untuk “memaknakan merdeka” atau dalam erti kata lain, menjelaskan erti kemerdekaan.
Lazimnya tujuan usaha-usaha ini digerakkan ialah untuk membincangkan tentang apa erti kemerdekaan sebenar sekaligus membuat refleksi sama ada masyarakat hari ini benar benar tahu dan faham akan erti kemerdekaan. Ini suatu usaha yang amat baik.
Namun, saya ingin mengajak anda untuk berfikir sejenak, adakah penting untuk kita memberi makna yang jelas kepada erti kemerdekaan?
Apakah keperluan untuk setiap orang mempunyai kefahaman yang jelas mengenai makna kemerdekaan
Mengapa tidak dibiarkan sahaja terma kemerdekaan itu ditafsir dan difahami mengikut kecenderungan individu? Mengapa tidak dibiarkan sahaja setiap orang memahami erti kemerdekaan itu secara samar-samar?
Saya kira, ini merupakan persoalan yang wajar difikirkan. Ia akan memberikan justifikasi sama ada perlu atau tidak kita menumpukan usaha untuk memaknakan kemerdekaan.
Pada pandangan peribadi saya, memberi makna yang tepat kepada erti kemerdekaan merupakan perkara yang amat penting kerana ia bakal mencorakkan bagaimana kita selaku ‘rakyat yang merdeka’ akan bertindak untuk menjaga ‘erti kemerdekaan’ yang kita percaya.
Jika dibiarkan sahaja kemerdekaan itu dimaknakan sesuka hati dengan sesuatu yang tidak tepat dan remeh, rakyat yang merdeka mungkin pada hakikatnya belum berjaya merdeka dengan sebenar benarnya.
Misalnya, mungkin bagi orang-orang yang memahami merdeka itu cukup sekadar bebas dari penjajahan pihak asing, maka dia tidak akan peduli jika dia ditindas oleh orang dari tanah airnya sendiri, seteruk mana pun penindasannya, asalkan bukan oleh orang asing.
Orang yang memahami merdeka itu cukup sekadar negaranya bebas dari pendudukan, pemerintahan dan penguasaan tentera penjajah pula, mungkin tidak ambil peduli jika negaranya masih dijajah secara tidak langsung dari sudut lain misalnya dari aspek ekonomi, sosial, politik dan lain-lain, asalkan bukan dari aspek ketenteraan.
Orang yang memahami merdeka itu cukup sekadar mereka bebas berbuat apa apa yang mereka mahu pula, mungkin akan terlepas pandang bahawa penjajahan juga boleh berlaku dalam bentuk bukan fizikal seperti penjajahan minda, mentaliti mahupun ideologi. Pada mereka, mereka sudah terbukti merdeka, tanpa menyedari hakikat bahawa mereka masih dijajah dan dirantai dari sudut yang tidak terlihat oleh mata kasar.
Demikianlah, jika kita tidak mengambil peduli untuk memberi makna kemerdekaan yang benar dan tepat (atau sekurang kurangnya tidak memudaratkan diri sendiri), maka impaknya ialah kita berkemungkinan akan hidup di tanah yang merdeka ini dalam keadaan yang masih terjajah.
Bukankah itu sesuatu yang mengaibkan buat seorang warga yang percaya bahawa dia telah merdeka? Bernafas di atas bumi bertuah yang dipercayainya sudah merdeka, namun perjalanan kehidupannya masih berlegar legar dalam sangkar penjajahan.
Ya, di sinilah pentingnya memberi makna kepada kemerdekaan dengan kefahaman serta penjelasan yang tepat.
Supaya kehidupan kita mencerminkan keadaan seorang individu yang benar-benar merdeka.
Itulah kepentingan memakanakan kemerdekaan dengan makna yang tepat.
Kita tidak mahu kemerdekaan yang kita maknakan itu bersifat selektif kepada sebilangan orang sahaja, ataupun tertumpu secara eksklusif kepada sekelompok manusia dalam status sosial yang tertentu sahaja, seperti apa yang pernah diungkapkan oleh Prof Dato' Dr. Siddiq Fadzil,
“Barangkali ada rakyat yang merdeka, tapi rakyat yang merdeka itu hanya rakyat yang besar-besar, yang kecil-kecil tidak merdeka."
Begitu juga, kita menolak makna kemerdekaan yang hanya memberi tumpuan kepada aspek fizikal sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada aspek intelek dan spiritual. Kemerdekaan akal dan spiritual inilah yang telah dibicarakan oleh Pendeta ZA’BA mengenai makna kemerdekaan,
“berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia....”
Demikianlah sebahagian daripada buah fikiran yang telah dikongsikan oleh orang-orang cerdik pandai yang telah meninggalkan kita.
Jika ditanyakan kepada saya tentang makna kemerdekaan, saya secara peribadi percaya bahawa makna kemerdekaan itu ialah keadaan yang membebaskan kita dari sebarang bentuk penjajahan, walau siapapun penjajahnya, dan pastinya ia wajib membebaskan kita bersama secara kolektif dan inklusif, dari segenap aspek kehidupan.
Itulah makna merdeka bagi saya.
Namun saya percaya bahawa masih banyak lagi perbincangan, penerokaan dan pembacaan yang perlu dilakukan untuk saya menemukan makna kemerdekaan yang lebih baik dan tepat.
Sebagai penutup, usahlah memandang enteng akan usaha-usaha yang digerakkan untuk mengajak masyarakat berfikir semula mengenai makna kemerdekaan yang sebenar. Percayalah, apabila kita semua memaknakan kemerdekaan dengan makna yang tepat, bersama-sama kita akan mampu menghargai, memanfaatkan dan mengekalkan nikmat kemerdekaan yang kita telah kecapi sejak sekian lama.
Tersilap memaknakan merdeka, barangkali ia mampu menjemput sekecil kecil mudarat seperti kehilangan rasa hormat kepada pejuang kemerdekaan negara kita.
Atau mungkin juga bakal membuka pintu-pintu kemudaratan yang lebih besar seperti kegagalan untuk mengekalkan dan mempertahankan kemerdekaan tanah air yang kita cintai ini.
Sudahkan anda memaknakan kemerdekaan dengan tepat?
A. Hud,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.