Mentaliti Juara
Mohd Wafiyuddin Al-Awal bin Musa | 21 Julai 2021
Mohd Wafiyuddin Al-Awal bin Musa | 21 Julai 2021
Saya mula mendengar Mentaliti Juara sejak tahun 2018 daripada Ultrasel (ultra Selangor). Sebagai seorang penyokong tegar pasukan Selangor FA (kini Selangor FC), terma tersebut merupakan satu seruan perubahan dan kemajuan kepada pasukan dan pengurusan pasukan untuk sentiasa mempunyai mentaliti kemenangan dalam memburu kejuaraan. Namun, terma tersebut bukan hanya slogan atau laungan demi cinta kepada bolasepak tempatan, tetapi ia juga ditujukan kepada penyokong setia Gergasi Merah Kuning. Hal ini dapat disokong dengan perkongsian oleh Capo Ultrasel, Iyzat Hamdan dan Adel di Youtube bertajuk "Kopak Otak EP01: Lebih Dari Bolasepak". Perkongsian oleh kedua "abang besar" Ultrasel tersebut amat jelas dan lengkap dalam menunjukkan bahawa Mentaliti Juara bukan hanya ketika 90 minit di atas padang, tapi seluruh kehidupan penyokong Selangor selepas tamat 90 minit permainan. Kesimpulan ringkas daripada video tersebut, Mentaliti Juara mempunyai 5 teras, iaitu Kerohanian (Percaya kepada tuhan, hormat agama), Harga diri (Jujur, setia dalam kehidupan), Kebersamaan, Jati diri dan Kebanggaan.
Namun, artikel saya akan lebih memfokuskan kepada pembawakan Mentaliti Juara dalam kehidupan seharian. Setelah setia bersama Selangor FC selama bertahun-tahun, melihat pembawakan Ultrasel, reformasi dan perubahan yang dilakukan oleh DYMM Raja Muda Selangor, saya akan kongsikan sudut pandang saya mengenai Mentaliti Juara daripada sudut di luar bolasepak itu sendiri.
Mentaliti Juara, satu slogan yang wajib dipegang oleh setiap insan yang ingin mengejar perubahan dan kemajuan. Dalam kehidupan kita seharian, mentaliti sebegini sepatutnya disematkan dalam apa jua tindak-tanduk kita. Sekiranya kalian seorang mahasiswa, maka ber-Mentaliti Juara-lah dalam mencapai kejayaan yang terbaik. Dengan mentaliti sebegini, seorang mahasiswa tidak akan bersifat sambil lewa, malas dan main-main untuk mencapai keputusan yang terbaik. Setiap tugasan yang diberikan akan diberikan fokus 100% dengan disiplin yang mantap kerana pembawakan Mentaliti Juara yang sudah tersemat dalam diri. Seorang mahasiswa juga akan cuba dengan sedaya-upaya seiring dengan mentaliti juara dalam mencapai tahap paling tinggi dalam pelajaran, seperti mendapat Sarjana atau Doktor Falsafah. Sama konsepnya kepada seorang pekerja. Seorang pekerja akan bekerja dengan sepenuh hati dan jiwa, setimpal dengan bayaran yang diberikan kerana mempunyai mentaliti sebegini. Dengan mentaliti juara jugalah, seseorang individu akan mempunyai visi dan akan cuba mengejar pencapaian tertinggi dalam bidangnya. Sebagai contoh, seorang peguam akan mempunyai disliplin dan integriti yang tinggi, serta mempunyai visi untuk mencapai kedudukan yang paling tinggi dalam bidang undang-undang, seperti Peguam Negara atau Ketua Hakim Negara. Seorang jurutera akan mengejar matlamat dan impian untuk menjadi seorang Insinyur, Ingeniur atau IR. Seorang pemain bolasepak tempatan akan mempunyai mentaliti dan gaya permainan seperti pemain berkelas dunia, dengan matlamat untuk bermain di kelab terbaik dunia seperti Barcelona atau Bayern Munich serta bersemangat untuk menjulang Piala Dunia bersama negara tercinta. Hal ini kerana kemajuan seseorang bermula dengan minda dan mentaliti. Sekuat mana badan, dengan jutaan ringgit sekalipun, ia tidak membawa apa-apa sekiranya mentaliti masih berada di takuk lama yang meruntuhkan. Seseorang yang bermentaliti juara akan berani untuk mencabar comfort zone demi kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Datanglah ribuan cabaran dan halangan, dengan mentaliti begini setiap perkara tersebut akan dapat di atasi dengan mudah. Ini maksud sebenar Mentaliti Juara.
Kita pergi kepada skop yang lebih luas, rakyat dan negara. Apa erti Mentaliti Juara kepada dua entiti penting ini? Rakyat yang bermentaliti juara atau kelas pertama akan bertanggungjawab untuk memajukan negara yang dicintai. Dengan mentaliti begini, seorang rakyat akan prihatin akan rakyat yang lain, tidak lupa tanggungjawab untuk mengundi dan membayar cukai, mematuhi undang-undang dan sentiasa menyokong produk tempatan demi kemajuan negara itu sendiri. Hal ini juga dapat memupuk semangat patriotisma dalam diri setiap rakyat, dan ini ialah semangat yang wajib disemat dengan mencapai Malaysia yang lebih maju kerana setiap tindak tanduk akan diniatkan demi negara tercinta. Kita boleh lihat contoh rakyat negara Jerman, negara yang kalah dua Perang Dunia, namun semangat patriotisme yang tinggi telah membina negara tersebut sebagai pengaruh besar dalam European Union pada hari ini. Begitu juga dengan Jepun, sebuah negara yang musnah dek "Fat Man" dan "Little Boy" pada 6 dan 9 Ogos 1945, tidak lupa Tsunami 2004, namun pantas bangkit dan sudah boleh bersaing dengan kuasa besar yang lain, bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi teknologi, automotif (Mazda, Honda) dan juga bolasepak (Keisuke Honda, Takumi Minamino). Kenapa? Kerana mentaliti dan semangat sayangkan negara. Dua perkara ini perlu selari, kerana apa guna semangat sekiranya mentaliti kelas ketiga? Malaysia mampu untuk maju sebegini, tidak perlu kalah perang dunia atau dilanda musibah untuk bangun, namun bangkitlah dengan bermentaliti juara. Rakyat yang bermentaliti juara juga akan lebih matang dan terbuka dalam berpolitik, pemimpin yang dipilih akan lebih berkualiti dan efektif. Melalui pemimpin sebegini, saya amat yakin dan pasti bahawa Malaysia pasti akan mencapai kemajuan pada masa hadapan, sebagaimana waktu kita digelar Asian Tiger dahulu. Pemimpin yang dipilih pasti lebih berwawasan, bebas korupsi dan mempunyai semangat sayangkan negara yang tinggi. Hanya pemimpin yang bermentaliti kelas ketiga dan kurang cinta akan negara akan bertindak tidak bijak dan incompetent dalam memimpin negara, sebagaimana kita dapat lihat pada hari ini. Sekiranya rakyat dan pemimpin bermentaliti juara, maka negara kita pasti akan juara. Kalau bukan kita, siapa? Bukan hari ini, bila? Inilah masanya untuk Harimau Malaya kita bertaring semula.
Melalui perkongsian saya dalam penulisan ini, kita dapat lihat bahawa terma Mentaliti Juara bukan hanya untuk pemain di atas padang selama 90 minit, tetapi seluruh kehidupan penyokong dan rakyat. Maka peganglah semangat ini sehingga titisan darah yang terakhir, sematkanlah kepada jiwa anak-anak dan rerakan dan laungkanlah sekuat hati dengan suara dan kudrat demi mencapai kemajuan yang gilang gemilang. Sekiranya satu rakyat bermentaliti juara, kemudian 10 orang, kemudian satu mukim, daerah dan negeri, lalu mentaliti ini di bawa sehingga ke peringkat nasional, saya amat yakin dan pasti Malaysia bukan sahaja akan layak ke Piala Dunia, tetapi kita juga akan menjulang piala pengaruh, ekonomi dan kemajuan di era globalisasi ini. Saya amat yakin, hal ini tidak mustahil sekiranya mentaliti ini sentiasa menjadi pegangan dalam mencapai kejayaan dan kemajuan.
Natijahnya, bermentaliti juaralah demi diri dan negara. Dan jangan lupa sokong bolasepak tempatan!
Mohd Wafiyuddin Al-Awal bin Musa,
Penyokong Merah Kuning sampai mati.
(Penulis juga merupakan Yang DiPertua GPMS UIAM 2020/2021)