MERDEKA: Perpaduan Yang Harus Disyukuri
Mardhiyah | 16 September 2021
MERDEKA: Perpaduan Yang Harus Disyukuri
Mardhiyah | 16 September 2021
Asbab kepada persepakatan dan semangat kebersamaan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan yang mewakili kaum majoriti dan bumiputera, Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan yang sekian lama diidamkan dan bebas dari taklukan penjajah. 64 tahun telah berlalu, peristiwa kemerdekaan yang dipayungi semangat perpaduan itu tidak akan pernah terpadam daripada lipatan sejarah tanah air. Menelusuri erti kemerdekaan yang penuh kebebasan dan keamanan, kita seharusnya mensyukuri nikmat perpaduan yang negara kita miliki di samping kepelbagaian kaum, budaya, agama dan adat masyarakat.
Andai ditanya akan keunikan Malaysia, sudah pasti antara jawapannya adalah kepelbagaian kaum dan budaya yang kita miliki. Kaum Melayu, Cina, India dan kaum minoriti yang lain mampu untuk hidup saling menghormati dan memahami agama dan budaya masing- masing serta meraikan perayaan bersama- sama. Bahkan, kita saling menerima dan mengalukan perbezaan tanpa sikap prejudis ataupun perbalahan sesama kaum.
Lebih istimewa, seluruh masyarakat berkongsi makanan kebudayaan dan menjadi kegemaran untuk sajian harian ataupun pada musim perayaan kaum masing- masing. Siapa saja yang tidak menggemari roti canai, capati, nasi lemak, nasi ayam atau kuetiau goreng basah (char kuey teow)? Sajian- sajian tersebut boleh dikatakan sebagai menu harian masyarakat Malaysia secara amnya meskipun asal- usul sajian tersebut adalah daripada kaum yang berlainan.
Perisitwa penggabungan Sabah dan Sarawak bersama semenanjung Tanah Melayu merupakan peristiwa bersejarah yang menambahkan lagi keunikan Malaysia dari sudut perpaduan dan kepelbagaian kaum. Pelbagai etnik daripada Sabah dan Sarawak telah mencambahkan lagi warna perpaduan masyarakat Malaysia terutamanya daripada kebudayaan dan adat yang istimewa dan unik. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan Malaysia terlalu kaya dengan kepelbagaian kaum dan masyarakat sehinggakan Malaysia menjadi hab pelancongan utama Asia rentetan daripada keunikan ini.
Keterbukaan masyarakat Malaysia terhadap perkahwinan campur juga mencambahkan lagi benih keunikan kaum dan budaya di tanah warisan ini. Meskipun berbeza latar kehidupan, namun masyarakat kita mampu menerima perbezaan tersebut sebagai satu kekuatan yang mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia. Tradisi yang diwarisi dari generasi ke generasi meluaskan lagi corak keistimewaan perpaduan di Malaysia meskipun ada elemen baru yang ditambah atau diolah untuk menyesuaikan percampuran kaum dan budaya tersebut. Bahkan asimilasi kaum yang berlaku mengagumkan masyarakat luar akan keunikan kaum di negara ini. Siapa saja yang tidak kagum apabila ada kaum lain yang fasih bertutur dalam bahasa dialek kaum Melayu di negeri tertentu? Di situ juga jelas menunjukkan betapa masyarakat Malaysia meraikan dan saling menerima perbezaan antara satu sama lain dan mampu mengadaptasikan kehidupan harian mereka dengan kaum lain.
Konsep ‘’Keluarga Malaysia’’ yang diperkenalkan oleh perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat agak bertepatan dalam konteks perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia pada hari ini. Konsep ini andai diolah frasanya secara konseptual, kita dapat mentafsirkan bahawa masyarakat yang berbilang kaum ini mampu hidup harmoni seolah- olah di bawah naungan satu bumbung yang bertiangkan semangat toleransi yang utuh biarpun berbeza acuan dan latar belakang kehidupan. Definisi ini agak dekat dengan fungsi sebuah ‘keluarga’ yang saling menyayangi, menghormati dan bertoleransi demi kebahagiaan semua.
Sayang sekali andai perpaduan, keharmonian dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini dibiarkan tercarik oleh anasir durjana yang hanya ingin melihat ‘keluarga’ kita goyah dan tumbang angkara persengketaan yang tidak seharusnya berlaku. Bertahun- tahun keharmonian ini mewarnakan kehidupan kita, usah kita lunturkan semangat perpaduan yang telah lama tersemat dek kerana terlalu rakus mengejar kemajuan dan kemerdekaan minda yang disemaikan oleh pemikir- pemikir asing yang langsung tidak mengenali keunikan perpaduan kaum yang kita miliki. Terus mensyukuri perpaduan yang kita miliki kerana ini maruah dan jati diri anak pertiwi. Salam Kemerdekaan Malaysia ke- 64 tahun, dan Selamat Hari Malaysia!
Mardhiyah,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.