Penghijrahan Cendekiawan
Khairunnisa Zamhari | 9 Ogos 2021
Penghijrahan Cendekiawan
Khairunnisa Zamhari | 9 Ogos 2021
Isu penghijrahan cendekiawan bukanlah isu yang baru malah merupakan isu yang biasa diperdebatkan. Frasa ‘penghijrahan cedekiawan’ ditakrifkan sebagai penghijrahan atau perpindahan buruh berkemahiran tinggi atau profesional terutamanya daripada negara membangun ke negara maju. Banyak faktor yang boleh diketengahkan dalam membincangkan punca perpindahan atau penghijrahan profesional ini antaranya dari aspek ekonomi, politik, sosial, peluang pekerjaan serta peluang kemajuan kerjaya. Kajian dilakukan pada tahun 2014 menunjukkan 2 daripada 10 pekerja berkemahiran di Malaysia memilih untuk bermigrasi ke negara maju, terutamanya Singapura. Namun, masalah penghijrahan cendekiawan ini merupakan masalah global dimana bukan sahaja Malaysia yang terkesan malah, negara lain seperti Afrika, Iran dan India. 60,000 profesional termasuk doktor berhijrah dari Afrika antara tahun 1985 dan 1990. Sejak itu, sekurang-kurangnya 20,000 orang yang berkelayakan dianggarkan telah meninggalkan negara tersebut setiap tahun. Dapatkah kita bayangkan betapa ruginya sesebuah negara apabila profesional ataupun pekerja berkemahiran ini memilih untuk berkhidmat ataupun menabur bakti kepada negara lain dan bukan negara sendiri. Negara-negara membangun menghabiskan sumber yang banyak untuk melatih para profesional dengan harapan mereka dapat berkhidmat kepada negara, tetapi para profesional ini kemudian direkrut ke negara-negara kaya dan maju.
Dalam situasi pandemik dan wabak Covid-19 yang semakin meruncing ini, isu doktor kontrak menjadi isu yang hangat dimana doktor baru hanya diberikan kontrak untuk bekerja dan tiada inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk menangani isu ini. Isu ini juga berkait dengan ketidakupayaan doktor kontrak untuk menjadi doktor pakar. Ramai doktor muda yang membuat keputusan untuk meletak jawatan kerana tekanan kerja dan juga gaji yang tidak setimpal ditawarkan kepada mereka. Hal ini sedikit sebanyak menyumbang kepada fenomena penghijrahan cendekiawan dalam kalangan doktor. Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata fenomena berkenaan menyebabkan hospital awam terus dibelenggu dengan masalah kekurangan doktor pakar. Dengan secara tidak langsung, kualiti khidmat kesihatan awam merosot hingga rakyat terpaksa menunggu tempoh lebih lama untuk mendapatkan rawatan dan lebih merisaukan lagi, tiada pakar yang dapat merawat pesakit dimana pada akhirnya perlu menanggung kos yang lebih tinggi untuk merekrut pakar dari negara luar.
Disini kita dapat lihat keputusan untuk bermigrasi ini bukan sahaja merupakan pilihan peribadi untuk kepentingan dan keselesaan hidup, namun juga disebabkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan platform dan juga memberi tekanan kepada pekerja berkemahiran tinggi ini seperti gaji yang tidak munasabah, waktu kerja yang terlalu membebankan dan juga tiada peluang untuk pekerja profesional ini mendapatkan ‘career advancement’ kerana kurang atau tiada peluang yang dibuka untuk mereka. Hal ini juga menyebabkan negara-negara membangun menghadapi kesukaran dalam pembangunan sistem pendidikan standard dalam profesionalisme akademik kerana kekurangan profesional dalam bidang-bidang tertentu. Tidak diragukan lagi keadaan sedemikian tidak boleh dipandang enteng oleh negara-negara yang mempunyai kekurangan pekerja berkemahiran tinggi dan melabur dalam sektor pendidikan untuk melangkah ke arah negara maju. Oleh itu, tindakan untuk mencari jalan keluar buat masalah khusus ini bagi negara-negara membangun adalah perlu untuk mengatasi kesukaran tersebut. Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan sendiri perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk membendung isu penghijrahan cendekiawan ini.
Pihak kerajaan perlu sentiasa bersikap terbuka dan harus memikirkan masa hadapan negara. Adakah negara kita hanya akan berada dalam tampuk yang sama 10 tahun akan datang? Pekerja berkemahiran tinggi cenderung bekerja di negara maju kerana ketiadaan kerja pakar yang ditawarkan oleh negara mereka sendiri menjadikan mereka memilih untuk bekerja di negara maju selain daripada gaya hidup dan politik yang stabil serta gaji yang lumayan. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Kerajaan patut mengambil langkah yang signifikan untuk bersaing seiring negara maju. Buka lebih banyak peluang kerja pakar dan melabur lebih banyak dalam sektor profesional. Kaji semula dan tambah baik sistem yang sedia ada. Mari kita lihat nama Malaysia dalam 10 tahun lagi. Bersamalah kita membangunkan tanah tumpahnya darah kita ini.
Khairunnisa Zamhari,
Mahasiswi Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws.