Perjuangan Menentang Kezaliman: Peranan Minimum Seorang Mahasiswa
Rib'i Amir | 8 Ogos 2021
Perjuangan Menentang Kezaliman: Peranan Minimum Seorang Mahasiswa
Rib'i Amir | 8 Ogos 2021
Tidak perlu diperincikan lagi mengenai realiti kezaliman yang berlaku di sekitar kita hari ini. Kezaliman hari ini menjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk; korupsi, tidak berintegriti, tidak kompeten, penindasan, penyelewengan dan pelbagai macam rupa lagi. Ada bentuk kezaliman yang memiskinkan manusia sehingga mereka hilang tempat berteduh, ada bentuk kezaliman yang menyebabkan manusia kebuluran sehingga mereka terpaksa mengorek tong sampah, dan ada juga kezaliman yang kesannya telah mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa.
Sebagai mahasiswa, kita punya satu peranan yang besar untuk menggalas tanggungjawab bersama masyarakat bagi memastikan segala bentuk kezaliman ini diperangi sehingga ke penghujung. Tidak sepatutnya kita sekadar berdiam diri, apatah lagi meredhai kezaliman yang berlaku. Kita juga tidak wajar sekadar menjadi pemerhati yang pasif, mahupun menjadi watak sampingan dalam perjuangan menentang kezaliman ini. Potensi seorang mahasiswa terlalu besar untuk dibazirkan tanpa berbakti kepada masyarakat yang butuhkan pertolongan dan bantuan kita untuk memerangi kezaliman yang semakin parah.
Tiga reaksi yang akan dicadangkan ini ialah reaksi yang sangat minimum peranannya jika dibandingkan dengan pelbagai reaksi lain yang mahasiswa mampu berikan. Ia merupakan alternatif buat mahasiswa yang mahu melakukan sesuatu, namun masih ragu-ragu dan buntu dalam mengenal pasti cara yang boleh mereka usahakan di tahap permulaan atau di tahap minimum. Maka, artikel ini akan mencadangkan tiga peranan minimum untuk mahasiswa yang mahu berperanan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan penentang kezaliman.
1. Mematikan Kezaliman Di Dalam Capaian Kita
Realitinya, kezaliman ini merupakan barah yang sudah bertapak lama di dalam segenap sistem masyarakat, termasuk di arena keramat kita yang kita kenali sebagai universiti. Bentuk-bentuk kezaliman sudah wujud di peringkat universiti merupakan hakikat pahit yang mesti kita terima. Maka di sinilah peranan kita untuk menentang budaya kezaliman ini sehabis baik. ‘Bunuh’ segera budaya kezaliman di sini sebelum ia menjadi semakin parah. Hentikan budaya memilih pemimpin pelajar yang tidak kompeten, hentikan budaya membodek pegawai universiti, hentikan budaya plagiat dalam tugasan, hentikan budaya menipu ketika peperiksaan, hentikan budaya menyeleweng dana persatuan.
Usahlah berdiam diri apabila berlaku kezaliman yang amat jelas berlaku di sekitar kita. Dr. Jordan Peterson, seorang ahli psikologi dan pemikir kontemporari melabel sikap berdiam diri seperti ini sebagai “Inappropriate Silence” yang boleh difahami sebagai suatu sikap berdiam diri yang tidak kena pada tempat dan tidak sesuai untuk dilakukan. Sikap berdiam diri ini yang akhirnya akan menatijahkan 1001 masalah lain yang akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika di peringkat ini pun kita sebagai mahasiswa sudah gagal, bagaimana pula kelak ketika individu-individu zalim ini memegang posisi signifikan di dalam masyarakat? Mereka inilah yang berpotensi untuk memberikan nafas kepada kezaliman di syarikat korporat, di organisasi masyarakat sivil, di arena politik dan di segenap ceruk lain yang akan mereka duduki kelak. Justeru, bukankah ini peluang keemasan kita untuk memastikan rantaian generasi para penzalim ini diputuskan di arena keramat kita? Inilah peluang kita, mematikan kezaliman di dalam capaian kita.
2. Tidak Menormalisasikan Kezaliman
Apabila kezaliman sudah menjadi perkara biasa, maka lambat laun masyarakat akan bertoleransi dan menerima kezaliman yang berlaku. Ron Rosenbaum dalam artikelnya Against Normalization: The Lesson of “The Munich Post” ada menyebut bahawa normalisasi seperti inilah yang dahulunya dilakukan oleh pemimpin tirani seperti Adolf Hitler untuk menjadikan masyarakat ‘selesa’ hidup bersama kezaliman yang beliau lakukan. Umpama hidup bersama bau sampah yang awalnya busuk, apabila sudah terbiasa, kita tidak lagi mampu menghidu kebusukan sampah tersebut kerana sudah terbiasa dengan baunya. Maka, sebelum perkara seperti ini berlaku, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai mahasiswa untuk memastikan bahawa kezaliman ini merupakan sesuatu yang tidak akan diterima sampai bila-bila.
Suarakanlah kepada ahli keluarga kita, jiran tetangga, saudara mara mahupun kepada rakan-rakan tentang kezaliman yang berlaku. Gunakanlah media sosial untuk bersuara dengan hujah-hujah yang jitu. Jika mampu, turunlah bergaul dan berjumpa masyarakat untuk memberi kesedaran. Usah biarkan masyarakat kita selesa apabila melihat pemimpin yang tidak kompeten, atau meredhai tindakan penyelewengan dan korupsi, atau menerima kehadiran insan-insan yang tidak berintegriti dalam masyarakat. Kita wajar menjadi manusia manusia yang berani bersuara untuk mengatakan bahawa segala bentuk kezaliman tidak akan pernah boleh diterima dalam masyarakat. Andai suatu masa nanti kezaliman ini menjadi normalisasi masyarakat, ketahuilah bahawa ketika itu kita semua bertanggungjawab kerana kita telah memilih untuk menjadi buta, pekak, bisu dan penakut untuk tidak menyuarakan ketidakpuasan hati untuk menentang kezaliman ketika kita sebenarnya mampu berbuat demikian.
3. Melabur Untuk Masa Hadapan Diri Sendiri
Ya, kita mungkin tidak punya wang untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Kita juga mungkin bimbang dengan risiko jangkitan virus pembunuh ini, menyebabkan kita tidak berani melangkah ke luar rumah membantu masyarakat. Maka cara alternatifnya ialah kita laburkan masa, tenaga dan usaha yang kita ada untuk mempersiapkan diri kita untuk masa hadapan. Jika bukan sekarang pun, sedarlah bahawa kita bakal menjadi aktor-aktor utama dalam menentukan nasib negara kita pada masa akan datang nanti. Ketika itu, adakah kita sudah cukup bersedia, sekiranya kita tidak mulakan persediaan kita dari sekarang? Gunakan masa yang ada sekarang untuk bersiap siaga, mengikut cara yang kita percaya mampu untuk dimanfaatkan di masa hadapan kelak. Sedarlah bahawa perjuangan ini perjuangan jangka masa panjang. Kita bukan sekadar mahu menang pertempuran-pertempuran kecil sahaja, bahkan kita mahu menang dalam peperangan besar ini secara mutlak.
Ruang dan peluang sentiasa mengalu alukan kita untuk mempersiapkan diri kita. Buku-buku sentiasa wujud untuk menjadi makanan intelektual kita, platform-platform keusahawanan juga wujud untuk kita mengukuhkan kewangan kita, ruang-ruang wacana sentiasa ada untuk kita saling berkongsi dan mempertajamkan idea kita. Selagi mana ia berguna untuk masa depan kita bagi menghapuskan kezaliman, maka gunakanlah ruang-ruang ini sebaik mungkin. Jika kita tidak menyusun perancangan yang rapi untuk masa hadapan kita, ketahuilah kita akan sentiasa dipijak pijak oleh aktor-aktor masyarakat yang zalim. Perkara inilah yang telah disebut oleh Saidina Ali R.A. “Kebaikan yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun”.
Sejarah Akan Menulis Mengenai Kita
Sebagai penutup, marilah kita renung sebentar kata-kata di bawah;
“Kita semua mempunyai peranan masing-masing yang perlu dimainkan (dan yang akan tercatat) dalam sejarah”.
Inilah kata-kata yang dituturkan oleh watak bernama Conor Cruise dalam sebuah filem sejarah bertajuk The Siege of Jadotville. Kata-kata ini saya kira amat mendalam untuk mengingatkan kita bahawasanya kita semua perlu melakukan sesuatu untuk menentang kezaliman yang semakin kronik di dalam masyarakat kita pada hari ini.
Sejarah bukan sahaja akan menulis dan memberi kecaman terhadap orang-orang yang menzalimi manusia lain. Tetapi sejarah juga akan mengingatkan manusia di masa hadapan mengenai segolongan lagi manusia yang memilih untuk berdiam diri dan berpeluk tubuh terhadap kezaliman yang berlaku, yang memilih untuk tidak bertindak ketika khidmat mereka ditagih oleh mereka yang dizalimi.
Benar, kita semua mempunyai peranan masing masing yang kelak akan dicatat dalam lipatan sejarah. Pastikan kita berada di pihak yang tidak kita berasa malu untuk mengakuinya ketika membaca catatan sejarah kelak.
Rib'i Amir.