Solidariti Perpaduan Negara Menurut Pemikiran Ibnu Khaldun.
Nuqman Muqrin | 15 September 2021
Solidariti Perpaduan Negara Menurut Pemikiran Ibnu Khaldun.
Nuqman Muqrin | 15 September 2021
Pada tahun ini khususnya pada tarikh 31 Ogos 2021, Malaysia tercinta ini menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-64. Tarikh keramat ini adalah tarikh yang membawa nilai yang sangat besar kepada rakyat Malaysia. Umumnya semua tahu bahawa 31 Ogos inilah hari di mana Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka. Sebagai rakyat Malaysia yang berbangga dengan negara ini, perlu kita telusuri dan fikirkan tentang nilai dan budaya yang ada di negara ini, persoalan-persoalan nasional, idealisme, prinsip-prinsip rukun negara dan budaya.
Adakah semua masyarakat di negara ini memahami konsep kenegaraan? Bagaimana pula setiap masyarakat memahami erti perpaduan? Perpaduan yang bagaimana sebenarnya negara ini perlukan? Adakah dengan bersetuju bahawa nasi lemak daun pisang adalah makanan paling sedap? Makanya, penulisan ini bertujuan untuk mengetengahkan pandangan ketamadunan dan kenegaraan menurut tokoh ilmuwan dunia abad pertengahan yang memberi banyak sumbangan dalam ilmu sejarah, politik dan sosiologi. Tokoh ini adalah Ibnu Khaldun.
Ibnu Khaldun berpendapat, sebagai makhluk sosial, manusia tidak mampu hidup tanpa melakukan interaksi sosial dengan manusia lain. Melalui interaksi ini, manusia membuat suatu peraturan yang telah disepakati secara kolektif. Kesepakatan ini meliputi; kesepakatan wilayah, peraturan dan hukum, hak dan peranan, dan sebagainya.
Penyatuan interaksi dan perhubungan matlamat antara manusia ini menjadi satu faktor besar yang memandu kepada penubuhan sesebuah negara. Menurut Ibnu Khaldun di dalam magnum opusnya The Muqaddimah (terjemahan Rosenthal), hanya negara yang memiliki ashabiyah yang kuat akan mampu membangunkan sebuah peradaban umat manusia yang tinggi. Sebaliknya, jika rasa ashabiyah pudar dan hanya difahami secara sempit, maka yang ada hanyalah kediktatoran dan kegagalan pemerintahan yang membuat hancurnya sebuah negara.
Jadinya, apakah yang dimaksudkan Ashabiyah ini? Ashabiyah menurut terjemahan Rosenthal Dawood, ianya adalah sifat kasih sayang yang dirasakan oleh seorang insan terhadap saudara atau jirannya apabila salah seorang dari mereka dilayan secara tidak adil. Memahami lebih mendalam dalam konteks kenegaraan, ashabiyah ini adalah keadaan ideal sebuah negara akan muncul, di mana terciptanya suatu tatanan interaksi sosial antara warganegara yang memiliki kesatuan visi dalam memandang masyarakat sebagai sub sistem dari sistem kenegaraan.
Sebelum itu, perlu kita fahami perbezaan konsep ashabiyah yang sempit dan ashabiyah yang ditekankan oleh Ibnu Khaldun. Ashabiyah yang sempit atau ashabiyah jahiliyah ini adalah sikap yang membuta tuli dalam membela kaumnya tanpa membezakan perkara yang haq dan batil dan mendiskriminasikan hak kaum yang lain serta memerangi kaum lain kerana tamak terhadap kuasa dan harta benda. Manakala secara ringkasnya, ashabiyah yang ditekankan oleh Ibnu Khaldun ialah perpaduan sosial atau kesolidaritian untuk menciptakan perpaduan dan etika sosial yang mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat.
Pada asalnya, konsep ashabiyah ini dimaknai dalam konteks pertalian darah dan kekeluargaan. Secara alamiahnya, akan wujud dalam sifat manusia ini sifat solidariti dan “kekitaan” sesama keluarga. Dengan adanya ashabiyah dalam manusia, maka akan timbul rasa cinta dan kepedulian yang tinggi terhadap masyarakatnya, bahkan berupaya untuk sentiasa mempertahankannya.
Sifat ashabiyah atau solidariti kekitaan yang semakin kuat ini akan menuju kepada peringkat yang lebih besar yakni peringkat umum. Peringkat ini hadirnya perasaan yang mengikat pelbagai keluarga dalam sebuah persaudaraan atau solidariti kolektif. Perasaan ini diikat dan disimpulkan oleh kesatuan visi, misi, sejarah, tanah air, dan bahasa. Seyogyanya melahirkan perpaduan yang menyatukan matlamat dan tujuan.
Dalam sejarah kemerdekaan Malaysia, kesatuan matlamat dan tujuan ini dapat kita lihat dalam peristiwa sejarah contohnya ketika penolakan rakyat besar-besaran terhadap pengenalan Malayan Union oleh British. Selain itu yang terkini di media sosial, rakyat menolak penyahwartaan hutan simpan di Selangor dan pemboikotan serangan kemanusiaan Zionis Israel kepada rakyat Palestin.
Perkara yang digariskan oleh Ibnu Khaldun sangat terpakai sehingga ke hari ini termasuklah di Malaysia yang kita cintai ini. Perlu kita tanya di manakah sifat ashabiyah atau solidariti perpaduan kita hari ini? Mengapakah 64 tahun kemerdekaan ini masih dibelenggu isu-isu perkauman yang meretakkan? Di manakah silapnya kita hari ini, dengan ketidakpastian kerajaan yang sudah bertukar tiga kali dalam satu penggal?
Ibnu Khaldun tidak menetapkan sistem politik apa yang sesuai dalam kenegaraan kerana tidak semua sistem yang ditulis Ibnu Khaldun terpakai pada semua keadaan dan zaman, tetapi beliau menekankan bahawa nilai solidariti perpaduan ini adalah asas kepada pembinaan negara yang bernilai. Persoalannya kini bagaimana konsep atau bentuk sistem perpaduan kita mampu mewujudkan cita-cita dan menjamin terciptanya kemakmuran bagi seluruh rakyat? Mari kita fikirkan tentang negara kita, cita-cita apa yang kita dambakan, ke mana kita mahu membawa negara mandiri ini bersama-sama.
Nuqman Muqrin,
Pemuda yang suka menikmati kopi pagi, sambil termenung mewujudkan Utopia-nya sendiri.